Friday, 17 May 2013

Laluan Pendakwah Islam dan Empat Ulama Terkenal di China


Sejarah telah ´memperakukan´ bahawa laluan pendakwah Islam ke China yang utama ialah Laluan Sutera. Laluan darat ini telah menghubungkan China, Parsi dan dunia Arab. Berdasarkan catatan sejarah, Laluan Sutera menjadi terkenal melalui ´pertukaran´ perdagangan dan kebudayaan.

Apabila Parsi dan Asia Tengah menjadi negara Islam, pengaruh Islam telah berkembang sehingga ke bahagian barat laut China melalui Laluan Sutera. Di Xinjiang, pengislaman penduduk tempatan sudah bermula sejak abad kelapan sehingga penduduk wilayah itu hampir semuanya beragama Islam pada abad ke-15 dan 16.


Seterusnya, semua kaum daripada latar belakang etnik yang berbeza telah memeluk agama Islam. Ini merupakan kemajuan yang besar dalam sejarah perkembangan Islam di negeri China. Sehubungan itu, kesan perkembangan Islam di Xinjiang dapat dilihat di daerah-daerah Qinghai, Gansu dan Ningxia. Maka, Islam telah menjadi agama yang diikuti ramai di barat laut China.


Laluan pendakwah Islam ke China kedua terpenting ialah jalan laut. Pada awalnya, para saudagar Arab dan Parsi telah datang ke bandar-bandar pelabuhan di selatan China melalui jalan laut.


Aktiviti-aktiviti perniagaan mereka dan kebudayaan Islam dapat dilihat melalui rekabentuk masjid-masjid lama di Guangzhou, kesan tinggalan sejarah dan ukiran serta tulisan Arab pada batu nisan yang ditemui di kawasan perkuburan di wilayah tersebut. Walau bagaimanapun, pengaruh Islam melalui jalan laut hanya dapat dikesan semula pada awal kedatangan Islam ke China.


Tiada tarikh yang tepat dapat dipastikan kerana kesan tinggalan sejarah telah rosak ditelan zaman atau musnah semasa peperangan. Selain masyarakat Islam di daerah Yunnan di selatan China, kebanyakan masyarakat China juga terdapat di sepanjang Jalan Sutera di barat laut China.


EMPAT ULAMA TERKENAL DALAM SEJARAH CHINA


Wang Daiyu (1584-1670) telah memperkenalkan konsep budaya Islam sambil membezakannya dengan budaya China. Beliau amat mahir dalam bidang pengetahuan tradisional China dan beliau telah memanfaatkan pengetahuan itu untuk menyebarkan pengetahuan Islam di China. Pandangan beliau telah banyak mempengaruhi masyarakat Islam sepanjang zaman.


Karya-karya beliau yang terkenal ialah "Penjelasan Tentang Agama Islam Yang Betul" dan "Pengetahuan Tinggi Qing Zhen".

Yusuf Ma Zhu dilahirkan di daerah Yunnan. Karya terkenal beliau "Arah Sebenar Islam" yang berkaitan sejarah Islam, falsafah dan undang-undang yang menitikberatkan bahawa Islam haruslah difahami dengan mengenali sifat-sifat Pencipta (Allah) sebagai teras kepada semua pengetahuan. Beliau juga mencadangkan pelaksanaan prinsip-prinsip Islam sebagai sesuatu yang amat penting bagi memperbaiki kelemahan-kelemahan sosial dan mengekalkan keadilan serta kesejahteraan masyarakat.

Liu Zhi(1665-1745) ialah cendekiawan yang ulung, beliau dilahirkan di Nanjing dan pengetahuan Islamnya yang mendalam telah memberi beliau reputasi yang tinggi di kalangan masyarakat China Islam dan bukan Islam. Hasil karya beliau yang terkemuka "Tian Fang Jian Li" (Etika dalam Islam) adalah satu-satunya buku dalam bahasa Mandarin tentang Islam yang telah dikumpulkan dalam ensiklopedia ´berprestij´ yang diizinkan oleh kerajaan pada zaman Dinasti Qing.


Karya beliau telah diakui oleh para cendekiawan tradisional China sebagai satu pencapaian yang membanggakan bagi memahami dengan lebih jelas tentang kehidupan manusia dari perspektif Islam.


Yusuf Ma Dexin (1794-1874) terkenal dengan kefasihan dan kemahiran beliau dalam bahasa Arab dan Parsi serta pengetahuan Islam yang mendalam. Beliau telah menterjemah Kitab Suci al-Quran ke dalam bahasa Mandarin.


Beliau juga telah menulis pelbagai jenis buku tentang Islam dalam bahasa Arab dan Parsi. Pada tahun 1841, beliau telah menunaikan fardu Haji dan menetap di negara Arab selama lapan tahun. Malangnya, semasa berumur 80 tahun, beliau telah dibunuh oleh kerajaan Dinasti Qing kerana penglibatan beliau dalam pemberontakan Islam di Yunnan, China.

SUMBER : YADIM

No comments:

Post a Comment