Friday, 17 May 2013
PAKEJ PELANCONGAN SILK ROAD – XIAN, URUMQI, TURPAN, HAMI, LANZHOU, DUN HUANG, KASHGAR & GHUANGZHOU ( 13H 11M )
Hari 12: GUANGZHOU – KUALA LUMPUR 2-6-2013 CZ3047
LALUAN SUTERA
LALUAN SUTERA
LALUAN SUTERA atau JALAN SUTERA ialah sebuah rangkaian laluan
perdagangan di seluruh benua Asia yang menghubungkan rantau Asia Timur, Asia Selatan, dan Asia Barat dengan rantau Mediterranean, dan juga Afrika Utara, Afrika Timur
Laut dan Eropah. Pada zaman sekarang, Laluan Sutera
merujuk kepada laluan-laluan utama di darat dan lautan sekitar benua-benua
tersebut.
Orang pertama yang menggunakan
istilah "Seidenstraße(n)" atau "Jalan Sutera", ialah
seorang ahli geografi berbangsa Jerman bernama Ferdinand
von Richthofen pada tahun 1877. Laluan Sutera dinamakan sempena
perdagangan sutera yang meluas di China, salah satu punca laluan-lauan
perdagangan terawal dihubungkan menjadi rangkaian antara benua yang meluas.
Laluan Sutera bukan sahaja merupakan
saluran perdagangan sutera, bahkan juga berbagai-bagai barangan lain. Laluan
ini menjadi pemangkin kegiatan pertukaran kebudayaan dan teknologi yang
menghubungkan para pedagang, saudagar, penziarah, mubaligh, tentera, puak nomad
dan penduduk bandar di negara China, India,
Parsi dan Mediterranean selama 3,000 tahun.
Rangkaian sepanjang 4,000 batu ini
membolehkan manusia mengangkut barang dagangan, khususnya barang-barang mewah
seperti hamba abdi, sutera, satin dan
pelbagai jenis kain halus yang lain, kesturi,
wangian lain, rempah dan ubat-ubatan, permata, barang kaca dan rubarb, di
samping dijadikan saluran utama untuk menyebarkan ilmu pengetahuan, fahaman,
falsafah, budaya, dan juga penyakit ke merata dunia (China,
India, Asia Minor
dan Mediterranean).
Kegiatan perdagangan sepanjang
Laluan Sutera ini merupakan faktor terpenting yang memacu pembangunan tamadun agung di China,
India, Mesir, Parsi,
Tanah Arab, dan Rom, serta ada kalanya mendirikan asas untuk
pembangunan dunia moden. Walaupun nama "Laluan Sutera" membayangkan
perjalanan tanpa henti, namun hanya sebilangan kecil orang yang pernah
melaluinya dari hujung ke hujung. Lazimnya, barang-barangan diangkut oleh
sekumpulan ejen di pelbagai laluan dan diperdagangkan di pasar saudagar yang
kesibukan di bandar oasis.
Kawasan laluan perdagangan di Asia
Tengah diluaskan sekitar 114 SM oleh kerajaan Dinasti Han, khususnya hasil misi dan penerokaan seorang
duta bernama Zhang Qian di samping
laluan perdagangan terawal yang sudah lama wujud di rentas benua. Pada
penghujung Zaman Pertengahan, perdagangan antara benua melalui rangkaian Laluan
Sutera merosot kerana kebangkitan perdagangan laut.
SUMBER : WIKIPEDIA
Laluan Pendakwah Islam dan Empat Ulama Terkenal di China
Sejarah telah ´memperakukan´ bahawa laluan pendakwah Islam ke China yang utama ialah Laluan Sutera. Laluan darat ini telah menghubungkan China, Parsi dan dunia Arab. Berdasarkan catatan sejarah, Laluan Sutera menjadi terkenal melalui ´pertukaran´ perdagangan dan kebudayaan.
Apabila Parsi dan Asia Tengah menjadi negara Islam, pengaruh Islam telah berkembang sehingga ke bahagian barat laut China melalui Laluan Sutera. Di Xinjiang, pengislaman penduduk tempatan sudah bermula sejak abad kelapan sehingga penduduk wilayah itu hampir semuanya beragama Islam pada abad ke-15 dan 16.
Seterusnya, semua kaum daripada latar belakang etnik yang berbeza telah memeluk agama Islam. Ini merupakan kemajuan yang besar dalam sejarah perkembangan Islam di negeri China. Sehubungan itu, kesan perkembangan Islam di Xinjiang dapat dilihat di daerah-daerah Qinghai, Gansu dan Ningxia. Maka, Islam telah menjadi agama yang diikuti ramai di barat laut China.
Laluan pendakwah Islam ke China kedua terpenting ialah jalan laut. Pada awalnya, para saudagar Arab dan Parsi telah datang ke bandar-bandar pelabuhan di selatan China melalui jalan laut.
Aktiviti-aktiviti perniagaan mereka dan kebudayaan Islam dapat dilihat melalui rekabentuk masjid-masjid lama di Guangzhou, kesan tinggalan sejarah dan ukiran serta tulisan Arab pada batu nisan yang ditemui di kawasan perkuburan di wilayah tersebut. Walau bagaimanapun, pengaruh Islam melalui jalan laut hanya dapat dikesan semula pada awal kedatangan Islam ke China.
Tiada tarikh yang tepat dapat dipastikan kerana kesan tinggalan sejarah telah rosak ditelan zaman atau musnah semasa peperangan. Selain masyarakat Islam di daerah Yunnan di selatan China, kebanyakan masyarakat China juga terdapat di sepanjang Jalan Sutera di barat laut China.
EMPAT ULAMA TERKENAL DALAM SEJARAH CHINA
Wang Daiyu (1584-1670) telah memperkenalkan konsep budaya Islam sambil membezakannya dengan budaya China. Beliau amat mahir dalam bidang pengetahuan tradisional China dan beliau telah memanfaatkan pengetahuan itu untuk menyebarkan pengetahuan Islam di China. Pandangan beliau telah banyak mempengaruhi masyarakat Islam sepanjang zaman.
Karya-karya beliau yang terkenal ialah "Penjelasan Tentang Agama Islam Yang Betul" dan "Pengetahuan Tinggi Qing Zhen".
Yusuf Ma Zhu dilahirkan di daerah Yunnan. Karya terkenal beliau "Arah Sebenar Islam" yang berkaitan sejarah Islam, falsafah dan undang-undang yang menitikberatkan bahawa Islam haruslah difahami dengan mengenali sifat-sifat Pencipta (Allah) sebagai teras kepada semua pengetahuan. Beliau juga mencadangkan pelaksanaan prinsip-prinsip Islam sebagai sesuatu yang amat penting bagi memperbaiki kelemahan-kelemahan sosial dan mengekalkan keadilan serta kesejahteraan masyarakat.
Liu Zhi(1665-1745) ialah cendekiawan yang ulung, beliau dilahirkan di Nanjing dan pengetahuan Islamnya yang mendalam telah memberi beliau reputasi yang tinggi di kalangan masyarakat China Islam dan bukan Islam. Hasil karya beliau yang terkemuka "Tian Fang Jian Li" (Etika dalam Islam) adalah satu-satunya buku dalam bahasa Mandarin tentang Islam yang telah dikumpulkan dalam ensiklopedia ´berprestij´ yang diizinkan oleh kerajaan pada zaman Dinasti Qing.
Karya beliau telah diakui oleh para cendekiawan tradisional China sebagai satu pencapaian yang membanggakan bagi memahami dengan lebih jelas tentang kehidupan manusia dari perspektif Islam.
Yusuf Ma Dexin (1794-1874) terkenal dengan kefasihan dan kemahiran beliau dalam bahasa Arab dan Parsi serta pengetahuan Islam yang mendalam. Beliau telah menterjemah Kitab Suci al-Quran ke dalam bahasa Mandarin.
Beliau juga telah menulis pelbagai jenis buku tentang Islam dalam bahasa Arab dan Parsi. Pada tahun 1841, beliau telah menunaikan fardu Haji dan menetap di negara Arab selama lapan tahun. Malangnya, semasa berumur 80 tahun, beliau telah dibunuh oleh kerajaan Dinasti Qing kerana penglibatan beliau dalam pemberontakan Islam di Yunnan, China.
SUMBER : YADIM
Subscribe to:
Posts (Atom)